CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Thursday, April 10, 2008

ASAS BANGUNAN


PENGENALAN
Asas sesebuah struktur bolehlah ditakrifkan sebagai bahagian struktur yang bersentuhan terus dengan tanah. Tanah akan mengalami enapan dan kadangkalanya gagal apabila dibebankan kerana biasanya tanah adalah jauh lebih lemah daripada konkrit, keluli ataupun kayu.

Asas merupakan `alat' yang bertujuan untuk memindahkan beban struktur kepada bumi dengan selamat iaitu selamat dari segi keupayaan tanah dan juga enapan yang tidak melebihi had-had tertentu. Jenis dan saiz sesuatu asas yang digunakan berkait rapat dengan saiz beban yang hendak dipindahkan dan juga kekuatan ricih tanah. Reka bentuk asas adalah satu proses menentukan jenis serta saiz asas dan beban maksimum yang dapat disokongnya untuk sesuatu tanah.

Oleh sebab asas menopang sesuatu struktur sepanjang hayatnya, maka amat penting untuk jurutera mengambil kira semua beban yang akan dialaminya kerana adalah amat sukar untuk mengubah atau membaiki sesuatu asas setelah ianya dibina. Fungsi asas tapak adalah untuk menanggung keseluruhan beban bangunan dan memindahkannya ke lapisan tanah di bawahnya. Asas tapak juga berfungsi untuk menyebarkan beban dari struktur atas pada satu kawasan tangungan bawah tanah yang selamat.

JENIS-JENIS ASAS
Asas bangunan dibahagikan kepada dua kategori, iaitu:
i. asas cetek, dan
ii. asas dalam

Asas cetek merupakan asas yang menghantar beban struktur kepada tanah berdekatan dengan permukaan bumi. Sementara asas dalam adalah asas yang menghantar beban struktur ke lapisan tanah yang lebih dalam.

ASAS – ASAS CETEK
Asas-asas cetek (atau rebak) terdiri daripada
(a) asas pad
(b) asas jalur
(c) asas rakit

Asas Pad
Asas-asas ini selalunya dibina untuk menyokong tiang struktur. Asas jenis ini menopang keseluruhan beban untuk sesuatu tiang secara tersendiri (terasing). Asas terebut terdapat dalam berbagai-bagai bentuk seperti bulat, segi empat dan segi empat sama. Reka bentuk asas pad ini melibatkan pengiraan mencari saiz pad yang diperlukan untuk menopang beban yang dikenakan oleh tiang.

KAEDAH KERJA ASAS PAD
1. Penggalian untuk pile cap / asas pad termasuk pemadatan tanah.

2. Pemasangan kotak acuan kepada ‘pile cap’ / asas pad.

3. Pemasangan tetulang kepada ‘pile cap’/ asas pad dan tiangnya.

4. Kerja konkrit kepada ‘pile cap’ / asas pad.

5. Penanggalan kotak acuan pada ‘pile cap’ / asas pad dan pemasangan kotak
kepada tiangnya (stump).


Asas Rakit
Asas ini mungkin diperlukan sekiranya keupayaan galas tanah bawah adalah tersangat rendah, atau dalam kes tiang-tiang struktur dijarakkan tersangat dekat antara satu sama lain dalam kedua-dua arah membujur dan memanjang. Asas jenis ini juga berguna untuk mengurangkan enapan kebezaan yang sangat besar atau dalam keadaan terdapatnya perbezaan yang sangat besar dalam pembebanan tiang tiang struktur. Asas rakit sebenarnya merupakan salah satu daripada jenis asas cetek atau asas rebak. Kegunaan yang paling biasa ialah untuk asas di atas tanah yang mempunyai keupayaan galas yang rendah sekali. Asas rakit ini juga digunakan untuk asas di atas tanah yang mempunyai kebolehmampatan yang sangat berbeza, iaitu untuk menghadkan enapan kebezaan.

JENIS-JENIS ASAS RAKIT
(a) Rakit Papak Rata
Asas rakit ini dibina dengan ketebalan yang seragam dan boleh digunakan di atas tanah dengan enapan yang besar tidak dijangka akan berlaku, dan dengan itu sesebuah rakit yang sangat kukuh tidak diperlukan. Satu lapisan jejaring tetulang ditempatkan di bahagian atas dan bawah papak untuk merintang momen lentur yang disebabkan oleh pesongan meleding dan melendut pada sebarang titik dalam papak.

(b) Rakit Sisi Terkukuh
Rakit jenis ini sesuai untuk asas struktur-struktur ringan seperti bangunan satu atau dua tingkat di atas tanah-tanah lembut boleh mampat atau bahan-bahan timbusan bebutir yang longgar. Alur dibina dalam kedua-dua arah membujur dan memanjang dan tiang-tiang ditempatkan pada persilangan alur tersebut.

(c) Rakit Papak dan Alur
Rakit jenis ini digunakan untuk bangunan-bangunan berat dengan kekukuhannya diperlukan untuk menghindar ubah bentuk berlebihan superstruktur yang disebabkan oleh perbezaan dalam kebolehmampatan tanah bawah.

(d) Rakit Tingkat Bawah (Besmen)
Untuk rakit jenis ini, dinding-dinding rakit bertindak sebagai pengukuh kepada asas rakit tersebut. Adakalanya asas-asas rakit ini ditopang di atas cerucuk.Cerucuk-cerucuk ini membantu dalam mengurangkan enapan struktur yang dibina di atas tanah-tanah yang sangat boleh mampat. Dalam keadaan aras air bumi agak tinggi, cerucuk bertindak sebagai pengawal pengapungan.

Keupayaan Galas Asas Rakit
Keupayaan galas asas rakit dapat ditentukan dengan persamaan berikut;

q'f = c' Nc dc sc + Po’ Nq dq sq + 1/2 Bγ’ Nγ dγ sγ
dan
qf = cu Nc dc s c + Po

iaitu nilai-nilai NY, N dan N, serta d dan s ialah faktor pembetulan masing-masing untuk kesan kedalaman dan bentuk.

Reka Bentuk Asas Rakit
Terdapat dua kaedah biasa untuk reka bentuk asas rakit, iaitu:
(a) kaedah tegar biasa
Dalam kaedah ini, rakit diandaikan sebagai tegar sepenuhnya. Tekanan tanah teragih dalam satu garisan lurus dengan sentroid yang sekena dengan garis tindakan beban tiang paduan.

(b) kaedah boleh lentur hampir.
Dalam kaedah ini, tanah diandaikan sebagai setara dengan pegas anjal yang tak terhingga (infinit) jumlahnya.Kadangkala asas ini juga dipanggil sebagai 'asas Winkler'. Parameter amat penting sekali dalam menentukan sama ada asas rakit tersebut harus direka bentuk dengan kaedah tegar biasa atau kaedah boleh lentur hampir. Menurut American Concrete Institute Committee 336 (1988), reka bentuk asas rakit hendaklah dilakukan dengan kaedah tegar biasa sekiranya jarak antara tiang dalam sebuah jalur kurang daripada 1.75/β manakala kaedah boleh lentur hampir hendaklah digunakan sekiranya arak antara tiang ini lebih besar daripada 1.75/β.

Asas Jalur
Asas jalur mangandungi jalur selanjar yang dibuat dari konkrit bagi menanggung dinding galas beban. Sebelum simen Portland diperkenalkan asas jalur biasanya di bina daripada batu bata.
Lebar asas jalur bergantung pada kekuatan galas tanah dan beban di atasnya. Semakin tinggi kekuatan galas tanah semakin kecil lebar asa yang diperlukan untuk beban yang sama. Lebar minimum untuk satu asas jalur ialah 450mm. Asas ini selalunya dibina untuk dinding dinding penggalas beban (lihat rajah 4.6), dan untuk baris tiang yang berjarak tersangat dekat antara satu sama lain sehingga lebih menjimatkan untuk untuk membina asas jalur daripada asas pad.

JENIS – JENIS ASAS JALUR
Asas jalur kecil
Keupayaan galas tanah dan beban di atas asas hanya memerlukan asas jalur yang tidak lebar atau lebar sedikit daripada tebal dinding. Kedalaman tanah adalah sekurang-kurangnya 0.9m.

Asas jalur lebar
Beban di atas asas adalah cukup besar berbanding dengan kekuatan galas tanah. Jadi ia perlulah menggunakan asas yang lebar untuk memindahkan beban.

0 comments: